Peseta demo upahan yang sedang menjalankan tugas |
Oleh Ahmad Fuad Yahya
JAKARTA, 31 Ogos (Bernama) — Perkhidmatan penyediaan peserta demonstrasi yang ditawarkan di kota raya besar ini telah muncul sebagai perniagaan luar biasa serta memberi peluang kepada penganggur meraih pendapatan, dan pada masa sama menimba ilmu bagaimana berdemonstrasi secara tertib.
Pihak yang memerlukan peserta demonstrasi boleh membuat pesanan untuk pakej lengkap iaitu penunjuk perasaan terlatih, pengangkutan, pemidato, peralatan sistem bunyi, sepanduk dan kenyataan demonstrasi.
Pakej yang ditawarkan sebuah organisasi bagi membekalkan peserta demonstrasi terlatih di sini dikira berdasarkan bayaran untuk sebuah bas kecil yang boleh memuatkan 30 hingga 35 peserta, iaitu antara Rp1.5 juta hingga Rp2 juta. (RM1 bersamaan dengan Rp2877.5951).
Untuk setiap aksi, seorang peserta boleh mendapat bayaran antara Rp30,000 hingga Rp40,000 dan sebungkus nasi campur.
Seorang pengelola perkhidmatan ini yang dikenali sebagai Aji Kusuma berkata, pakej yang ditawarkannya terdiri daripada peserta terlatih, namun ada pihak lain turut menawarkan peserta demonstrasi berbayar yang tidak terlatih, selain golongan mahasiswa.
"Anggota demo ini pemuda perkotaan, biasanya mereka yang menganggur tiada pekerjaan, kita ajak, cuba buat latihan supaya bila demo, mereka tidak kosong sangat tentang pemahaman isi demo itu.
"Biasanya kalau kita mahu melakukan aksi A, beberapa hari sebelum hari A, kita sudah melakukan diskusi. Bahawa kita ke A untuk ini dan ini, kita untuk itu dan itu, jadi, kalau di lapangan ditanya orang, mereka faham semua,” katanya.
Beliau berkata biasanya, bahan-bahan taklimat untuk demonstrasi diperoleh daripada pihak yang membuat pesanan.
Aji berkata organisasinya mempunyai antara 20 hingga 30 peserta di setiap kampung di permukiman kampung-kampung di Jakarta, dan peserta itu akan dikumpulkan bila ada pesanan untuk aksi demonstrasi.
Katanya, peserta demonstrasi yang paling ramai pernah beliau kumpulkan ialah 3,000 orang yang dibawa menggunakan 90 bas mini.
Beliau berkata tugas yang dilakukan peserta demonstrasi hanyalah beraksi di lapangan, dan pihaknya tidak mengambil tahu sama ada ia mendatangkan hasil atau tidak, kerana perkara itu adalah urusan pihak yang membuat pesanan.
Aji berkata idea mewujudkan perkhidmatan demonstrasi timbul daripada aksi demonstrasi sebenar yang diadakan secara besar-besaran oleh mahasiswa pada era reformasi.
Aksi demonstrasi itu kemudian berkembang kepada penggunaan peserta demonstrasi berbayar untuk tujuan tertentu, seperti menjatuhkan pemimpin politik.
"Di setiap momentum politik, akan selalu ada demo dengan peserta bayaran atau honor, dan kita juga tak menyalahkan apa-apa dalam transisi demokrasi, mungkin ini harus dilalui juga,” katanya.
Memandangkan ramai belia yang menganggur di Jakarta, beliau berkata pihaknya berusaha mengumpulkan mereka, memberi latihan selama beberapa hari di Puncak, Bogor berkaitan pengurusan demonstrasi, pidato, analisis dan latihan amali di lapangan.
Katanya, terdapat juga pasukan khas yang diberi latihan berkaitan reka bentuk komputer dan bahasa Inggeris bagi menyediakan sepanduk dan seumpamanya.
Bayaran yang diterima daripada setiap pesanan, sebahagiannya dimasukkan ke dalam dana organisasi manakala bakinya diagihkan kepada peserta.
Walaupun menawarkan perkhidmatan pakej demonstrasi, organisasi milik Aji tidak menerima semua pesanan, sebaliknya memilih apa yang sesuai dengan prinsip pegangannya.
"Kita tidak terima semua pesanan, ada batasannya, yang pertama kita tidak membela Order Baru untuk bekas Presiden Suharto, kita tidak juga membela SBY (Presiden Susilo Bambang Yudhoyono),” katanya.
Menurutnya, organisasi beliau lebih memilih untuk mengambil pesanan daripada pihak luar Jakarta.
Mengenai pihak yang mengadakan demonstrasi menggunakan peserta berbayar tidak terlatih, Aji berkata daripada apa yang beliau dengar, mereka menetapkan bayaran mengikut bilangan peserta yang disediakan.
Penunjuk perasaan terlatih dan yang tidak terlatih boleh dibezakan kerana mereka yang tidak terlatih biasanya akan mencari tempat berteduh semasa cuaca panas atau hujan, atau hanya berdiri di pinggir jalan.
"Kalau (organisasi) kita tidak (begitu), kita tidak pernah ajarkan begitu.
Kalau panas, panaslah, kalau hujan, hujanlah, kita tetap tertib.
"Jadi, ketertiban itulah yang membezakan demo yang dibayar dan demo bayaran peserta yang terlatih,” katanya.
Beliau berkata, peserta demonstrasi berbayar yang tidak terlatih biasanya terdiri daripada mahasiswa, pemuda, surirumah atau golongan yang diminta oleh pihak yang membuat pesanan.
"Kalau dari kita hanya pemuda, penganggur yang kita rekrut. Tapi rakan-rakan lain sepertinya, ada mahasiswa, bahkan yang pakai lambang universiti tertentu lebih mahal bayarannya, maksudnya, mereka mahasiswa sebenar yang dijemput dan dibayar mahal,” katanya.
Mahasiswa yang biasanyanya dibawa ke demonstrasi adalah daripada pihak yang menggunakan nama-nama Islam, katanya.
Aji berkata peserta demonstrasinya tidak terlibat dalam aksi demonstrasi anjuran badan bukan kerajaan (NGO) termasuk yang diadakan di depan Kedutaan Besar Malaysia baru-baru ini, kerana mereka memilih untuk tidak beraksi pada bulan puasa.
Peserta demonstrasi organisasi beliau hanya dilatih cara-cara menyelamatkan diri jika situasi menjadi kecoh, namun mereka terpaksa menanggung risiko sendiri jika ditangkap polis.
"Risiko mereka ambil. Ada yang dipenjara, malah bangga kerana demo anti korupsi,” katanya memberi contoh.
Bagi peserta yang ditahan di penjara, organisasi akan menjenguk mereka seminggu sekali untuk mengambil tahu tentang kebajikan mereka, katanya.
Malaysia Instinct
Mc rasa ini berita gembira pada puak-puak reformasi yang sudah tak laku. Selepas ini confirm Anwar akan turun ke Indonesia dan mengupah puak demo ni datang Malaysia dan buat kacau. Bayar murah, mesti boleh punyalah..
MctHeory:
Rendah betul harga diri puak-puak ni. Umpama pelacur jalanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan