Sabtu, 30 Julai 2011

PANAS!! PAS KEDAH MUNGKIR JANJI DAN BERBOHONG!! - Dr Mashitah Ibrahim



Oleh Dr. Mashitah Ibrahim

LAWATAN Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kedah pasti akan menyemarakkan semangat Barisan Nasional (BN) dan UMNO negeri dalam usaha merampas semula Kedah daripada tangan pembangkang. Sejak 2008, pucuk pimpinan dan ahli parti bekerja keras untuk menarik hati pengundi dan mengubah pola pengundian.

Di bawah kepimpinan Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, banyak perubahan berlaku. Hasilnya cukup jelas dan berbaloi. Kemenangan BN dan UMNO dalam banyak pilihan raya kecil sejak 2008 dan Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu begitu menggalakkan.

Jelas bahawa sebahagian besar rakyat dan orang Melayu masih sayangkan UMNO. Kita sudah nampak gelombang sokongan yang semakin menaik. Usaha-usaha konkrit yang dijalankan BN dan UMNO sudah menampakkan hasil positif.

Parti-parti pembangkang pula tidak sebulu, selalu bergaduh macam anjing dengan kucing, seperti yang berlaku di Selangor, Sarawak dan Kedah. Ketua Pembangkang pula terbabit dalam pelbagai kes moral yang tidak berkesudahan sehingga para pemimpinnya berkelahi sesama sendiri dan pengikut menjadi bosan.

Namun kita kena berpijak di bumi nyata. Sebagai parti politik, kita kena bina kekuatan sendiri. Kekuatan kita tidak boleh bergantung kepada kelemahan parti lain. Parti kita kena kuat kerana disokong rakyat terbanyak. Parti kita kuat kerana kita teguh atas dasar prinsip dan setiakawan. Parti kita kuat kerana mampu membawa kemajuan kepada masyarakat dan membangunkan negara.

Tumbangnya kerajaan BN Kedah tiga tahun lalu adalah satu pengalaman cukup pahit. Kesannya memudaratkan, khususnya terhadap rakyat jelata. Banyak keputusan yang dibuat kerajaan negeri di bawah Pas tidak menguntungkan orang ramai. Pengumuman kenaikan tarif air 25 hingga 44 peratus (%) benar-benar memeritkan rakyat yang kebanyakannya masih berpendapatan rendah. Protes dibuat oleh penyokong Pas sendiri di depan pejabat Menteri Besar baru-baru ini.

Rakyat dapat melihat dengan jelas bagaimana kerajaan Pas gagal menangani masalah banjir, bekalan air, agihan perumahan dan kes dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) berhubung tunggakan bayaran. Menteri Besar bersikap angkuh dan mengugut UUM, yang mana ramai dalam kalangan pelajarnya adalah anak-anak Kedah sendiri. Kalau beginilah cara seorang Menteri Besar mentadbir dan sikap yang ditunjukkan, tidak hairanlah rakyat memprotes.

Ahli Pas juga memprotes kerana kerajaan Pas di bawah Datuk Seri Azizan Abdul Razak gagal menunaikan janji pilihan raya, termasuk melaksanakan hukum hudud di Kedah walaupun sudah masuk tiga tahun. Protes lagi besar dibuat baru-baru ini oleh pelajar-pelajar Kolej Universiti Insaniah, sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri, yang tidak berpuas hati dengan layanan dan kegagalan kerajaan negeri menyediakan kemudahan asas di institusi itu.

Macam-macam alasan Menteri Besar beri. Banyaknya yang tidak munasabah. Masa kempen pilihan raya dulu, Pas bagaikan ayam jantan jaguh berkokok akan melaksanakan undang-undang syariah jika menang. Tapi bila didesak penyokong-penyokongnya sendiri, Azizan memberi alasan, perkara itu tidak boleh dilaksanakan secara drastik atau terburu-buru.

Alasannya kena tunggu Kelantan buat dulu, lepas itu tengok bagaimana hudud diterima pakai dan apakah implikasi pelaksanaannya di Kelantan. Lepas itu baru boleh pertimbang sama ada hendak laksanakan hudud di Kedah atau tidak. Dia juga memberi alasan Kelantan dan Kedah adalah dua negeri berbeza. Baru-baru ini, dia buat kenyataan bahawa hudud bukan keutamaan di Kedah. Kononnya basmi rasuah dan penyelewengan adalah lebih utama.

Mudah cerita, berbelit lagi berbohong. Apa lagi kredibiliti yang ada pada seorang Menteri Besar sekiranya didesak penyokong sendiri untuk meletakkan jawatan kerana bercakap bohong dan berjanji palsu selain gagal memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Kedah seperti mana slogan yang dilaung-laungkan “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua”?

Hendak laksanakan peraturan tutup premis hiburan di bulan Ramadan pun kena sergah oleh DAP. Maknanya, Menteri Besar gagal mempertahankan keputusannya sendiri, tak boleh guna kuasa yang ada. DAP yang tidak ada wakil dalam kerajaan negeri nampaknya lebih berkuasa.

Di pihak UMNO, kita sudah buat post-mortem dan menganalisis beberapa kelemahan dalam parti, justeru banyak usaha telah kita ambil, termasuk menstruktur semula pucuk pimpinan di peringkat badan perhubungan. Di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah, dibantu timbalan Datuk Mukhriz Mahathir, insya-Allah, jika ditakdir Allah SWT, kita akan merampas semula kerajaan Kedah.

Kata kunci hari ini ialah ‘perubahan’. Ini yang rakyat mahu. Justeru, gerakan Gelombang Merah sudah dilancarkan. Cabaran utama UMNO hari ini adalah meraih kembali keyakinan rakyat kepada UMNO. Untuk memenangi hati rakyat, kita kena faham jiwa nurani dan keperluan mereka. Jadilah pemimpin akar umbi dan ahli parti yang cakna. Ini tidak sukar kerana kita juga sebahagian daripada rakyat. UMNO mesti ambil tahu segala isu mereka, pasang mata dan telinga, serta sensitif kepada masalah di peringkat akar umbi.

Paksi segala kerja kita ialah cogan kata parti keramat UMNO sendiri, yakni BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT. Semangat Melayu peninggalan pahlawan sejak dahulu kala ialah kesatuan. Panduan hidup diasaskan kepada pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah kamu terkena penyakit ummah iaitu dengki mendengki, tidak senang melihat sahabatmu mendapat nikmat.”

Pendekatan kita adalah bekerja kuat dan serius bagi mencapai kejayaan, mengenal pasti ancaman, sentiasa ikhlas dan sanggup berkorban dalam perjuangan. Kita kena cekap mentafsir hasrat orang Melayu, memenuhi aspirasi dan kehendak mereka. Dalam pada itu, apa jua kesilapan yang pernah dilakukan segera diperbetulkan agar rakyat dapat membuat pilihan terbaik menjelang PRU 13 nanti.

UMNO mahu memerintah semula Kedah bukan atas dasar balas dendam atau gila kuasa. Kita perlu kuasa untuk mengubah nasib rakyat, menggantikan kerajaan yang lemah dan pincang dengan pentadbiran yang lebih mantap dan berpengalaman untuk memperbaiki taraf sosio-ekonomi serta pendapatan rakyat.

Kita perlu meneruskan tradisi membela rakyat, membangunkan orang Melayu dan mendaulatkan Islam. Kita tidak mahu agenda Melayu diambil alih oleh mereka daripada kumpulan yang tidak bangga jadi Melayu atau sanggup gadai agama untuk kepentingan politik semata-mata.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

UMNO kedah perlu meletakkan calon yang berpendidikan tinggi,ahli profesional dan yang brjiwa rakyat bagi mencabar PAS.Pembangkang tidak kuat di Kedah tapi UMNO lemah dalam pengurusan parti,strategi dan pemimpin UMNO jarang turun padang sebaliknya sibuk dengan urusan perniagaan.