Khamis, 3 Mei 2012

PANASS!! Azizan SALAH GUNA KUASA Dalam Projek Aman Central? #saveKedah



Pelaksanaan projek pembinaan kompleks beli-belah Aman Central di sini mencetuskan satu lagi isu apabila kerajaan Pas Kedah didakwa tidak menjalankan tender terbuka sebelum memasuki Perjanjian Usahasama (JV) bagi projek bernilai RM500 juta itu.

Ketua Pemuda Gerakan negeri, Tan Keng Liang mendakwa, tindakan itu bertentangan dengan janji pakatan pembangkang untuk mengamalkan sistem tender terbuka sebagaimana yang terkandung dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat 2010 dan Buku Jingga.


"Saya telah menjalankan siasatan selama tiga bulan sebelum berani membuat dakwaan ini. Ia perkara yang serius kerana pakatan pembangkang sebelum ini berjanji mengamalkan sistem tender terbuka apatah lagi ia melibatkan projek yang bernilai RM500 juta.

"Mustahil Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak daripada Pas tidak tahu kandungan perjanjian dalam Buku Jingga kerana saya memuat turut salinannya daripada laman web Pas," katanya kepada pemberita di pejabat Gerakan negeri di sini hari ini.

Menurut Keng Liang, kerajaan Pas Kedah telah melancarkan pengambilan tanah bagi projek berkenaan pada Julai tahun lalu dengan anggaran kos kira-kira RM40 juta dan tanah itu diserahkan kepada anak syarikatnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Katanya, PKNK kemudian memasuki JV dengan sebuah syarikat persendirian dari Pulau Pinang dan sebuah syarikat usahasama ditubuhkan bagi menjalankan projek pembangunan berkenaan.

Apa yang menimbulkan persoalan, dakwanya, mengapakah tiada tender terbuka dibuat kerajaan Pas Kedah sebelum memasuki JV bagi projek itu dan mengapa anak syarikat PKNK seperti Bina Darul Aman yang mempunyai keupayaan tidak diberi peluang melaksanakannya.

"Persoalan lain apakah terma dalam JV berkenaan kerana tidak diketahui fungsi kerajaan negeri dalam projek itu dan siapakah yang mempunyai hak mutlak ke atasnya," ujarnya.

Sehubungan itu, Pemuda Gerakan negeri mendesak Menteri Besar supaya memberi penjelasan mengenai isu tersebut kerana ia melibatkan janji dan kepentingan rakyat.


"Menteri Besar perlu menjawab isu ini kecuali beliau cakap beliau bukan sebahagian daripada Buku Jingga," katanya.

Menurutnya lagi, pembinaan kompleks beli-belah Aman Central itu turut mencetuskan isu-isu lain seperti pembeli premis perniagaan Plaza Tunku Yaacob sehingga kini tidak diberi pampasan oleh kerajaan negeri walaupun bangunan itu telah dirobohkan.

Selain itu, katanya, isu bantahan merobohkan Madrasah Salihiah bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek itu yang kini menjadi kes mahkamah.

Untuk rekod, Plaza Tunku Yaacob yang terbengkalai sejak sekian lama dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan pusat beli-belah berkenaan yang dijangka siap pada 2014.


McTheory:
Itulah Islam Pas.. Islam kot mana pun taktau laa..

1 ulasan:

Quantum Metal Consultant berkata...

Ostad dah lama bagitau dia tidak terikat kepada buku jingga atau bapak segala jingga pun. Jadi tidaklah perlu satu penjelasan pun - dah lama orang Kedah tau pendirian MB.

Tender terbuka yang biasa di amalkan oleh MB dari UMNO pun kadang2 wayang sahaja, hasilnya cina MCA juga yang dapat. Pi mai pi mai - sama je.


Apapun biarlah Kedah di tangan PAS sepenggal dua lagi. Kepada UMNO Kedah - biarlah mereka belajar dari kesilapan lalu dan biarlah pemimpin sekarang digantikan dengan pelapis baru sebelum Kedah diserahkan semula pada UMNO