Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata ahli dewan yang tidak mengangkat sumpah dalam tempoh enam bulan selepas hari pertama persidangan Dewan Rakyat tanpa alasan akan gugur kelayakan sebagai ahli parlimen.
"Mengikut perlembagaan, artikel 59 (1) kalau Ahli Yang Berhormat yang tidak mengangkat sumpah dalam tempoh enam bulan selepas persidangan pertama selepas pilihan raya, maka dia akan disqualified (sebagai ahli parlimen)," katanya.
Beliau mengulas rancangan yang disuarakan oleh NGO tertentu agar wakil Pakatan Rakyat memulaukan majlis angkat sumpah sebagai ahli parlimen.
Pada 7 Jun, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor mempertimbangkan untuk memulaukan sesi pembukaan ke-13 Parlimen dengan tidak menghantar soalan untuk perbahasan.
Bagaimanapun, pada hari yang sama Penasihat DAP Lim Kit Siang dilapor menegaskan tidak akan memulaukan upacara angkat sumpah walaupun parti itu tidak puas hati dengan sistem pilihan raya dan akan memfailkan petisyen pilihan raya.
Tiga hari kemudian, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata parti itu membuat pendirian yang sama dengan menolak gesaan memulaukan sidang Parlimen sambil menegaskan MP PAS akan menghadiri sidang Parlimen seperti biasa.
Mengulas lanjut, Pandikar berkata anggota dewan masih boleh mengangkat sumpah pada hari lain selepas majlis berkenaan, dengan alasan tertentu.
"Ya, boleh mengangkat sumpah tetapi bagi mereka yang mempunyai alasan tidak boleh mengangkat sumpah pada hari pertama.
"Kalau sengaja dengan alasan memboikot tidak mahu mengangkat sumpah dalam temph enam bulan, maka gugur kelayakan, menurut perlembagaan. Itu tafsiran saya," katanya.
Pandikar berkata sekiranya ahli parlimen Pakatan Rakyat tidak mengangkat sumpah, ia juga disifatkan sebagai "penghinaan" terhadap sistem di negara ini.
"Oleh kerana takut dilucut selepas enam bulan dan dia failkan ada hari alternatif untuk angkat sumpah, kenapa buat begitu. Kenapa?
"Kalau mereka mahu buat begitu, barangkali saya sebagai speaker, saya juga mungkin boleh boikot waktu mereka mengangkat sumpah pada hari berlainan.
"Kalau (MP) boleh boikot sistem demokrasi, saya juga sebagai speaker barangkali mungkin saya membuat pendirian saya akan boikot, pada hari mereka mengangkat sumpah.
"Jadi timbalan-timbalan saya juga akan boikot. Tidakkah begitu jadinya?," katanya dengan nada berseloroh sambil menambah tindakan tersebut dilihat sebagai satu penghinaan terhadap parlimen dan Yang Dipertuan Agong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan