Khamis, 25 Julai 2013
HOT! Mukhriz Presiden Baru KFA, Harapan Baru, Kenari Terbang Tinggi! #KedahAmanMakmur @MukhrizMahathir
Pada semua rakyat Kedah, tak kira yang berada di dalam negeri atau pun diluar negeri. Semalam MB kita Datuk Mukhriz sudah secara rasminya menjadi Presiden KFA mengantikan MB Kedah yang lepas Tan Sri Azizan.
Berbekalkan MB Kedah yang muda ni, Mc dapat rasakan akan ada perubahan besar terhadap bola sepak Kedah.
Kat bawah ni ucapan penuh dari Datuk Mukhriz,
Alhamdulillah, marilah sama-sama kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan izinNya, maka dapat kita bersama dalam Messyuarat Luar Biasa KFA
pada petang ini.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh Ahli-Ahli Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) yang telah memberi kepercayaan sebulat suara kepada saya selaku Presiden KFA sehingga tahun 2014.
Sesungguhnya amanat dan tanggungjawab ini amatlah berat memandangkan sukan bolasepak amat memberi “kesan yang mendalam ” kepada Negeri Kedah Darul Aman dan rakyat keseluruhannya.
Kesempatan ini juga saya ingin merakamkan penghargaan dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman ( KFA ) iaitu Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Di Raja Ustaz Haji Azizan bin Abdul Razak di atas jasabaik dan sumbangan beliau kepada Persatuan Bolasepak Negeri Kedah Darul Aman.
Dewasa ini banyak pihak memperkatakan mengenai sukan nombor satu Negara iaitu bolasepak. Ia adalah sejenis sukan yang agak luas untuk diulas dan diperkatakan.Tetapi bagi saya, kita sebagai pihak yang bernaung di bawah KFA mempunyai satu hasrat yang sama iaitu mahu melihat kejayaan demi kejayaan dilakarkan sekaligus mengharumkan nama baik negeri Kedah dalam bidang sukan terutamanya bolasepak.
Maka kita seharusnya bertanya pada diri kita sendiri, selama kita diamanahkan memikul amanah dan tanggungjawab ini, sejauh manakah atau apakah yang telah kita sumbangkan bagi kemajuan dan kecemerlangan KFA.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
KFA mempunyai beberapa agenda pembangunan untuk dibangunkan. Kita mempunyai pasukan Liga Perdana, Pasukan Piala Presiden, Pasukan Futsal, Pasukan Bolasepak Pantai, Kenari Kid dan seumpamanya selain Pembangunan Kejurulatihan atau Pengadilan. Selaku Presiden yang baru, saya akan menilai semula keperlua program- program yang sedia ada ini bagi memastikan ianya bersesuaian dengan kos dan matlamat KFA itu sendiri.
Suka atau tidak, pasukan Liga Perdana kita amatlah penting bagi menggambarkan sebenar imej KFA. Jika kuat dan menang, maka ia akan memberi impak yang amat besar pada KFA. Sebagai contoh, kutipan tiket dan jumlah penonton akan bertambah jika kita menang, begitu jugalah sebaliknya.
Para penyokong walau di mana-mana sekalipun mahukan pasukan kesayangan mereka mencapai kemenangan. Tetapi yang lebih penting adalah mutu persembahan, jika kalah sekalipun mutu permainan mereka mestilah bagus dan penyokong pasti akan berpuas hati.
Inilah yang mahu saya tekankan, konsistensi pasukan perlu sentiasa seimbang, semua yang terlibat haruslah mengambil ingatan bahawa penonton datang dan membeli tiket, mereka mahukan sesuatu yang terbaik daripada kita.
Sepertimana kita sedia maklum bahawa saingan Piala Malaysia
(Primier Cup) 2013 akan bermula 2 minggu selepas Hari Raya Aidilfitri. Pengundian pertandingan Piala Malaysia akan diadakan pada 27 Julai 2013 nanti dan saya amat berharap Pasukan Utama kita akan dapat bersaing dan mencapai kejayaan demi kejayaan sehingga kita layak ke pentas Final nanti. Saya bukanlah ingin mendabik dada, tetapi saya percaya kepada kualiti pemain-pemain yang ada dan mereka mempu mencapai kejayaan, Insyaallah. Kejayaan pasukan kita nanti juga pastinya adalah hadiah utama kepada peminat nombor satu bolasepak Kedah iaitu KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong serta
Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian
Saya dimaklumkan dalam setahun, KFA berbelanja lebih dari RM6 Juta Ringgit. Di kesempatan ini saya merakamkan berbanyak terima kasih kepada PKNK khususnya yang menjadi penyumbang terbesar. Selain daripada itu kita juga menerima sumbangan dari Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang berjumlah hampir RM 6 juta. Pelaburan kita agak besar jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan Liga Perdana lain, tetapi mereka dilihat lebih berjaya dari kita apabila berjaya melakar kejayaan bermakna baru-baru ini.
Perkara ini membuatkan saya terfikir, apakah pasukan bolasepak kita diurus dengan betul? Atau perlukah satu lonjakan paradigma di dalam sistem pengurusan sukan bolasepak negeri Kedah ini? Saya bercadang untuk mengadakan kerjasama dengan kelab- kelab terkemuka di peringkat antarabangsa bagi membolehkan para penggerak bolasepak di negeri Kedah ini akan dapat mempelajari dan mendalami ilmu pengurusan pasukan, pengurusan stadium, pengurusan kelab penyokong dan pengurusan kewangan pasukan.
Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian ,
Sepertimana pihak tuan-tuan sedia maklum, kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional hari ini mempunyai ‘Akujanji’ yang khas berkaitan dengan sukan bolasepak. Ianya terkandung di dalam manifesto Barisan Nasional Negeri Kedah Darul Aman menjelang PRU yang lepas. Ianya adalah untuk menebus kembali kegemilangan Bolasepak Kedah melalui pembangunan di semua peringkat di seluruh Negeri Kedah Darul Aman. Oleh yang demikian, tugas kita menjadi semakin mencabar dengan harapan yang menggunung daripada seluruh penyokong pasukan Hijau Kuning!
Akhir kata, saya mengucapkan syabas dan tahniah di atas usaha mengadakan kongres ( EGM ) pada hari ini.Bagi saya, setelah diberi amanah sebagai Presiden yang baru ini, ingin saya nyatakan rasa hormat saya ke atas kelebihan, pengalaman serta kepakaran yang tuan-tuan miliki dan sama-samalah kita berkongsi ilmu dan kepakaran yang ada bagi mengangkat mutu sukan bolasepak di Negeri Kedah Darul Aman.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Syabas Dato Mukriz. Insya Alalh moga skuad Hijau Kuning kembali berada di takhta Liga spt KFA di zaman Allahyarham Dato Hj Ahmad Basri Akil..
Al-Fatihah..
TERBAEK MB Kedah!! Ucapan padat penuh makna. Harap brjaya terjemahkan pd perlaksanaan yg berkesan.
Bn Akujanji Ditepati..
PR janji di capati..
Catat Ulasan