Sabtu, 26 Disember 2015

FELDA Komited Dalam Benteras Penyalahgunaan Dadah


Sekarang ni seringkali orang kaitkan masyarakat FELDA antara masyarakat yang paling ramai terbabit dengan penyalahgunaan dadah. Disebabkan tersebut, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan terus komited dalam membantu kerajaan untuk membanteras gejala penyalahgunaan dadah di tanah-tanah rancangan FELDA, tegas Pengerusi FELDA, Tan Sri Hj Mohd Isa Dato’ Hj Abdul Samad ketika merasmikan Program Komuniti Sihat Tanpa Dadah di FELDA Pasoh 4.

Setelah kejayaan 11 buah siri Program Komuniti Sihat Tanpa Dadah 2014, FELDA kini berhasrat meneruskan kesinambungan program ini bermula di Wilayah Raja Alias.

Antara objektif program adalah untuk menyalurkan maklumat berkaitan ancaman dadah kepada bangsa dan negara serta menanamkan sikap prihatin kepada kaedah pencegahan dan perawatan.

Melalui pelbagai aktiviti yang dirancang, program ini akan menggerakkan aktiviti komuniti sihat serta bebas dari bahaya dadah sekaligus memberikan kesedaran kepada masyarakat FELDA.

Program ini mensasarkan kesedaran kepada kumpulan sasaran dari kalangan warga peneroka dan belia selain pelajar sekolah dan petugas di tanah rancangan.

Pada siri program tahun 2014 telah mencatatkan pengunjung seramai lebih 6,000 orang dengan jumlah pengunjung tertinggi dicatatkan di Wilayah Raja Alias seramai hampir 1,000 orang.

FELDA Wilayah Raja Alias turut menadi Wilayah FELDA pertama untuk menjadi tuan rumah bagi siri terkini.

FELDA berharap agar program ini terus menjadi wadah untuk semua warganya bermasyarakat.

Program ini turut memberikan peluang kepada golongan belia FELDA untuk terlibat lebih aktif dalam aktiviti-aktiviti sosial yang sihat dan FELDA optimistik bahawa program ini dapat menjadi usaha dalam menyingkirkan najis dadah dari kawasan tanah rancangan FELDA.

Isa dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa FELDA komited membantu kerajaan dalam membanteras gejala penyalahgunaan dadah ini yang dilihat sukar untuk dibendung kerana kurang mendapat sokongan yang cukup baik daripada masyarakat.

“Masyarakat juga perlu memainkan peranan juga, tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), penguatkuasa dan kerajaan semata-mata,” ujar Isa Samad.

“Program Komuniti Sihat Tanpa Dadah ini hanya sebagai satu langkah dan cara kita (FELDA) untuk membanteras gejala penyalahgunaan dadah. Pimpinan masyarakat dan komuniti jangan pernah jemu untuk terus ambil tindakan harian,” katanya.

Isa juga turut meluahkan kekesalan beliau berikutan gejala penyalahgunaan dadah ini dijuarai oleh orang Melayu sendiri dan menyeru agar masyarakat sama-sama membantu kerajaan, FELDA dan AADK dalam membanteras gejala tidak sihat ini.

Selain itu Isa turut menafikan persepsi umum yang kerap kali mengaitkan masyarakat FELDA dengan gejala dadah ini kerana menurut beliau gejala ini bukan sahaja berlaku di tanah rancangan FELDA malah ianya turut berlaku di kawasan lain dan bandar-bandar besar.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh AADK, jumlah kes berkaitan penyalahgunaan dadah di FELDA Wilayah Raja Alias melibatkan 1,079 kes yang mana 667 kes adalah penagih dan baki 412 kes adalah yang berada dibawah pengawasan.

Menurut Timbalan Pengarah (Operasi) AADK Negeri Sembilan, Tn Hj Izhar Abu Talib, FELDA telah memberikan kerjasama penuh bersama pihak AADK dalam membanteras gejala dadah di kawasan-kawasan berisiko termasuk di FELDA Pasoh 4.

Pada 2014 kerajaan negeri, AADK, Blue Ocean Strategy dan lain-lain agensi telah mempergiatkan lebih aktiviti dalam membanteras gejala penyalahgunaan dadah.

Blue Ocean Strategy telah menyenaraikan 14 buah kawasan berisiko termasuk FELDA Pasoh 4 yang mana kesemua 14 kawasan berisiko ini akan menjadi projek untuk mempergiatkan lagi usaha untuk membanteras penyalahgunaan dadah dengan program-program yang lebih intensif.

Tiada ulasan: