Memaparkan catatan dengan label Dr. Ridhuan Tee. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dr. Ridhuan Tee. Papar semua catatan
Khamis, 23 April 2015
Dr Ridhuan Tee Komen Tentang Ayahanda Tun Dr Mahathir
SAYA tidaklah rapat dengan Tun Mahathir. Tetapi dalam Perkim, Tun adalah YDP dan saya adalah antara NYDPnya. Dua atau tiga bulan sekali, pasti kami berjumpa, bermesyuarat.
Selaku seorang negarawan, Tun boleh mengambil pendirian berdiam diri. Apatah lagi apabila sampai usia emas ini. Bermain dengan anak cucu. Tidak perlu pening kepala. Tetapi Tun tidak memilih jalan tersebut.
Negarawan tetap negarawan, hatinya tidak akan tenang, jika ada yang tidak kena. Tun lantang mengkritik dan memberi pandangan. Adakah itu salah dalam sebuah negara demokrasi?
Ada yang menyalahkan Tun kerana tidak menggunakan saluran parti. Persoalannya, adakah saluran parti akan menerima pandangan Tun atau pandangan Tun mungkin disenyapkan?
Memahami politik Malaysia, kadangkala orang sekeliling kita lebih sudu daripada garpu. Mungkin Tun dengan PM tidak ada apa-apa. Pertemuan bagaikan adik-beradik. Tetapi tidak kepada orang keliling. Cucuk sana, cucuk sini. Keadaan semakin buruk. Elok juga kadangkala PM berdiam diri.
Kita selalu mencari siapa benar, siapa salah. Bukannya mencari apa yang benar, apa yang salah. Berilah jawapan yang Tun bangkitkan. Itu sahaja yang Tun pinta.
Sama ada Tun berpuas hati atau tidak, kita lihat, yang penting jawab. Tun seorang yang rasional. Ada perkara yang saya berbeza dengan Tun, terutama isu hudud.
Tidak dinafikan Tun ramai pengikut senyap. Tun tidak keseorangan. Memahami budaya politik Umno, ketika berkuasa, pemimpin disanjung dan dijunjung. Kentutnya pun bau wangi. Berbeza dengan Tun, walaupun sudah tidak berkuasa, taringnya masih ada.
Politik membodek amat ketara ketika berkuasa. Jarang yang berani kata ‘No’ kepada PM. Boleh dikatakan, semuanya ‘Yes’ belaka. Saya tidak yakin PM mahukan jawapan sedemikian. PM mahukan keikhlasan. Tegur dan beri pandangan dengan ikhlas dan jujur. Bukan melaga-lagakan.
Tidak cukup dengan Tun, anak Tun, Mukhriz, MB Kedah, turut dimangsakan oleh segelintir pemimpin Umno. Mereka mahukan anak Tun menyatakan pendirian sama ada sokong Tun atau PM. Tidak salah jika anak Tun mengambil pendirian menyokong mana pun.
Apa yang penting, neraca yang digunakan, Islam. Amar makruf, nahi mungkar. Ditakdirkan anak menyokong bapa, tidak perlu cari jalan menyingkirkannya. Berlapang dada.
Kenapa perlu mangsakan sesama sendiri, sesama saudara? Tidak bolehkah dalam keadaan bermasalah kita berperanan menjernihkan, bukan menambah. Ibarat menarik rambut dalam tepung.
Kalau pemimpin Umno terus mengambil tindakan, saling jatuh-menjatuh, tikam-menikam, fitnah-menfitnah, Umno sedang menanti untuk membusuk, menggali kubur sendiri.
Amat malang, pemimpin yang tidak memikirkan kepentingan Umno secara keseluruhan, tetapi lebih kepada dahan yang mana lebih kuat untuk berpaut. Memang, politik itu sesuatu yang tidak boleh dijangka.
Ini belum termasuk lagi kisah salah seorang pemimpin pemuda Umno yang dikaitkan dengan skandal gadis keliling pinggang. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana pemuda ini boleh memimpin Umno suatu masa nanti. Eloklah pimpinan Umno cepat-cepat keluarkan orang sebegini.
Ambil iktibar ultra kiasu yang bijak berpolitik. Licik dan berstrategi. Misalnya, memberi amaran kepada Pas agar tidak terjerat dalam “perangkap” Umno, dengan merujuk kepada insiden ketika Pas menyertai kerajaan campuran BN 1973, selepas itu ‘ditendang’ keluar pada tahun 1977 serta tragedi Memali pada 1985.
Mereka memperlekehkan Pas seolah-olah tidak bernilai satu sen pun. Presiden dan pimpinan Pas bukanlah bodoh untuk masuk dalam perangkap Umno. Mereka sangat kenal siapa Umno. Namun, saya amat yakin pimpinan Pas memikirkan kepentingan umat Islam berhadapan bahaya ultra kiasu.
Tidak dinafikan ada orang Umno yang menolak dan menentang hudud. Tetapi tidaklah sejahat ultra kiasu. Pernahkah Pas dibawa berbincang sebelum ditendang dari PR Sabah?
Ingatan saya kepada Pas, selagi berada di landasan yang benar, tidak ada yang perlu ditakutkan. Biarlah ultra kiasu meminggirkan Pas. Kita mencari reda ALLAH, bukan reda manusia.
Pas mesti bersabar dan istiqamah. Rapatkan saf dan jauhkan daripada sebarang prasangka buruk atau persengketaan. Tidak mustahil suatu masa nanti, ditakdirkan Umno membusuk, disebabkan oleh tindakan segelintir pemimpinnya yang tidak boleh dicontohi, Pas boleh mengambil tempat Umno.
Kepada Umno, ingat amaran ALLAH, tidak mustahil, ALLAH akan gantikan kamu dengan orang yang lebih baik, jika kamu terus leka dan tidak sedar diri. Kembalilah kepada ALLAH dalam membuat sebarang keputusan. Insya-ALLAH selamat.
* Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah,INSPIRE/PPA, UniSZA
Isnin, 3 Jun 2013
HOT INFO! Perlukah Menjadi Cina-Secinanya? - Dr Ridhuan Tee
![]() |
| Tulisan Dr Ridhuan Tee |
Pantang saya menulis dalam akhbar Mingguan Malaysia minggu lalu, menyentuh sedikit isu mengenai orang Cina, dunia bagai nak kiamat. Diperbesar-besarkan oleh laman web ultra kiasu untuk dijadikan bahan makian dan cacian. Seperti biasa, bukan hujah yang dibahas, peribadi menjadi mangsa dan diserang. Terima kasih atas pemikiran kuno ini. Saya redha. Apa yang penting, saya ingin rakyat marhaen sedar.
Sebelum mengulas lanjut, tahniah kepada kerajaan Malaysia, kerana mengembalikan semula nama Kementerian Pendidikan daripada Kementerian Pelajaran. Ada orang berkata, ada apa dengan nama. Pada saya, memang ada pada nama. Beza antara nama orang Malaysia Cina dengan orang Cina Malaysia. Di Indonesia, rata-rata menggunakan orang Indonesia Tionghua berbanding orang Tionghua Indonesia. Nama Indonesia (bangsa asal/negara) mesti berada di hadapan. Berbeza dengan kita, bangsa mesti berada di hadapan. Siapa yang rasis? Lu fikirlah sendiri. Sebab itu, saya tidak percaya bila ultra kiasu selalu berkata, I am Malaysian 1st.
Jika Malaysia didahulukan, bermakna agenda nasional mesti diutamakan. Misalnya, bahasa kebangsaan, sekolah kebangsaan, kebudayaan kebangsaan, pakaian kebangsaan, upacara rasmi kebangsaan dan banyak lagi yang bersifat kebangsaan. Adakah semua ini dihormati dan disambut oleh ultra kiasu dengan baik dan berlapang dada. Lihatlah sahaja majlis angkat sumpah perlantikan exco di hadapan Sultan Selangor dan TYT Pulau Pinang. Itulah ragam ultra kiasu.
Paling sedih, sehinggakan ke peringkat, mereka mahukan mensyaratkan menteri (timbalan) pendidikan mesti boleh berbahasa Cina untuk berurusan dengan Cina dan menjaga sekolah Cina. Mereka mempertikaikan perlantikan Dato Mary Yap sebagai timbalan menteri pendidikan, kerana tidak memenuhi syarat tersebut. Banyak cantik muka. Nasihat saya, berhijrahlah ke tempat yang ada menteri sedemikian.
Ketika memberi respon, Yap dengan bangga berkata, beliau tidak perlu malu kerana tidak boleh berbahasa mandarin, yang penting kena buat kerja. Ini kenyataan seorang negarawan, bukannya seperti pertubuhan ultra kiasu tersebut.
Menurut Yap, walaupun tidak pandai membaca dan bertutur dalam bahasa mandarin, itu bukan isu. Beliau menguasai bahasa Melayu (BM) dan Inggeris (BI) dengan baik. "Saya juga ada pegawai untuk bantu saya yang akan beri nasihat dan bacakan surat khabar Cina dan beritahu apa yang dilaporkan. "Ada ramai pemimpin di dunia yang tak fasih berbahasa Inggeris tapi disebabkan ada pasukan yang kuat, mereka boleh bimbing negara dengan begitu berkesan,".
MP Tawau ini berpendapat, beliau tidak mewakili kaum Cina tetapi wakil kepada rakyat Malaysia. Beliau telah berkhidmat di bawah kementerian pendidikan hampir 36 tahun dan telah berjumpa dengan pelbagai kaum dan guru. "Saya tak lihat diri sebagai mewakili orang Cina tetapi sebagai orang Malaysia. Inilah 1Malaysia. Tapi bila cakap mengenai pendidikan Cina, ia merupakan sebahagian daripada tugas saya untuk menyelesaikannya,".
Terus terang, untuk setakat ini, saya kagum dengan pandangan sebegini, bertepatan dengan amalan 1Malaysia. Inilah yang membezakan antara bukan Melayu (Cina) di Semenanjung dengan Cina Sabah dan Sarawak. Cina Sabah Sarawak lebih terbuka dan tidak ultra kiasu, semangat 1Malaysia amat tinggi, berbanding sebahagian mereka di sini.
Kita perlu banyakkan menteri (timbalan) bukan Melayu seperti ini. Kenapa Yap agak berbeza dengan ultra kiasu yang lain? Hujahnya mudah, mereka lebih terdedah kepada pribumi dan bumiputera di sana. Berbanding di sini, setiap hari sosialisasi politik mereka dalam apa jua bidang amat bersifat ultra kiasu (perkauman)
Kita tentu masih ingat, sebelum ini ultra kiasu mensyaratkan, guru-guru bukan Cina yang mengajar BM dan BI di SJKC mesti mendapat kredit bahasa Cina dalam SPM. Jika tidak, mereka tidak layak untuk mengajar di SJKC. Kerajaan terpaksa akur kerana mahukan undi mereka. Sebahagian besar guru-guru BM dan BI bukan Cina telah dikeluarkan daripada SJKC. Begitu juga dengan kerani-kerani Melayu pun di sana perlu menguasai bahasa Cina.
Saya tidak faham, kenapa dan mengapa kerajaan tunduk dan akur kepada desakan ini, sedangkan semua sekolah ini berada dalam sistem pendidikan negara berpaksikan perlembagaan, menjunjung agenda negara. Semua gaji mereka dan prasana disediakan oleh kerajaan. PRU13 membuktikan, bahawa pemberian tidak dibalas. Apakah kita akan teruskan permainan ini?
Bandingkan, sekolah agama (kebangsaan) tidak pula mensyaratkan guru-guru bukan Melayu yang mengajar BI mesti boleh menguasai bahasa Arab. Jika itulah yang dilakukan, bayangkan berapa banyak bantahan akan dikemukakan kepada kerajaan kerana tidak berlaku adil.
Melalui sistem ini, bahasa Arab masih boleh dikuasai, walaupun tidak sepenuhnya. Melayu tidak perlu menjadi orang Arab untuk menguasai bahasa Arab. Sebab itu, sukar untuk saya diterima idea untuk mencinakan sekolah Cina secina-cinanya, barulah bahasa Cina boleh dikuasai dengan baik dan menjadi Cina tulen. Itupun kerajaan membenarkan operasinya. Inilah toleransi orang Melayu yang tidak ada pada bangsa lain. Malangya tidak dihargai.
Ingatan saya kepada kepada UMNO BN yang menerajui kerajaan, jangan terlalu mengemis untuk mendapat simpati mereka. Jika madu yang diberi, tuba yang dibalas, segerakan perlaksanaan BM sebagai pengantar. Gunakan akta pelajaran 1996 untuk kuatkuasakan BM di semua jenis sekolah, walaupun kuasa untuk menghapus sekolah vernakular sudah tidak ada lagi, kerana peruntukan akta tersebut telah dihapuskan dengan kewujudan akta pelajaran 1996.
Terbaharu, berlaku ‘percanggahan’ pendapat antara Ahli Lembaga Sekolah Chong Hwa dengan Dong Zong mengenai kedudukan Sekolah Persendirian Cina (SPC) di Kuantan. Ahli lembaga SPC Chung Hwa hanya mahukan satu sahaja di di Kuantan. Jika Dong Zong mahukan SPC lain, cari tempat lain, tetapi bukan di Kuantan, takut berlaku persaingan.
Dong Zong tetap berkeras mahukan sebuah lagi SPC di Kuantan. Persoalan saya, tidak cukupkah lagi apa yang ada? Perlukan SPC menjadi secina-cinanya? Chong Hwa mahukan pelajarnya mengambil SPM dan UEC sebagai menyahut seruan kerajaan. Manakala Dong Zong tidak bersetuju dengan idea kerajaan (juga Chong Hwa) untuk menggunakan silibus kebangsaan dan medium bahasa Melayu. Chong Hwa dilarang menduduki UEC yang dikendalikan Dong Zong jika mahu mengikut syarat kerajaan.
Dong Zong hanya mahukan UEC yang tulen. Dong Zong tidak mahu pelajarnya cair kecinaan, jika berada di Chong Hwa yang mahu bertolak ansur dengan kerajaan dalam menjunjung agenda kebangsaan. Saya harap Kementerian Pendidikan yang baharu dapat melihat perkara ini dengan serius. Apakah kita ingin terus lahirkan manusia yang menterbalikkan jalur gemilang seperti yang dilakukan oleh bekas pelajar UEC di Taiwan. Perkara ini tidak mustahil berlaku lagi kerana jiwa ultra kiasu mereka sudah lama bersarang dalam sanubari melalui pendidikan yang telah diperolehi.
Lebih ultra lagi, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) sebelum ini bersungut mengenai komposisi dalam senarai anggota kabinet yang didakwa tidak banyak membariskan wakil daripada kaum Cina dalam untuk menyelesaikan masalah mereka.
Persoalan saya, di manakah kita berada? Perlukah sangat menteri Cina untuk jaga orang Cina? Adakah selama ini menteri Melayu tidak menjaga orang Cina? Siapa yang perlu menjaga siapa? Siapa yang harus mengenang budi dan membalas jasa siapa? Di China dan India, siapakah yang mewakili Cina (India) Muslim di sana untuk mendengar masalah mereka? Sedarkah kita betapa beruntungnya bukan Melayu di negara bertuah ini? Apa yang ada Melayu dan bumiputera, tidak terdapat pada diri mereka hari ini?
Dengan sebab itu, saya amat risau idea menjadikan BN satu parti. Kita mungkin bersangka baik. Orang lain bagaimana? Bahayanya, apabila undian dijalankan, sudah tentu undi UMNO (Melayu) hanya ada satu, berbanding 12 wakil parti komponen yang lain. Hanya UMNO sahaja yang akan bercakap soal kepentingan Melayu (Islam). Itupun jika semua faham. Ada segelintir dalam UMNO yang telah mati hati Melayunya kerana dikaburi oleh wang yang digula-gulakan oleh ultra kiasu.
Selain itu, apa yang tergambar dalam fikiran ultra kiasu ini? Bila idea ini dibangkitkan, ultra kiasu tanpa melihat kedudukan mereka, mengeluarkan kenyataan, Timbalan Perdana Menteri (TPM), paling kurang mesti ada tiga iaitu TPM mewakili Sabah Sarawak, Cina dan India. Yang peliknya, orang Sabah dan Sarawak tidak pula kedengaran membincangkannya dengan serius! Kenapa ultra kiasu di Semenanjung begitu obsess dengan jawatan TPM? Kenapa tidak sebut sahaja perlu ada jawatan 3 jenis PM?
Dalam kepala otak mereka, tidak ada perkara lain, soal bangsa, bangsa, bangsa. Bagaimana dengan orang asli dan etnik minoriti yang lain? Berapa banyak jawatan TPM hendak diwujudkan untuk memuaskan hati semua pihak. Pada saya, yang paling layak untuk jadi TPM adalah, orang Melayu, orang Asli dan wakil Sabah Sarawak. Titik. Kedudukan mereka begitu jelas. Mereka layak menjadi TPM untuk Malaysia, kerana mereka tahu dan faham sejarah Malaysia. Mereka menyahut agenda kebangsaan dan BM mereka tip-top. Yang lain belum tentu.
Cuba intai-intai perbahasan ultra kiasu dalam dalam parlimen selepas ini. Kalau boleh, kita tidak mahu dengar lagi kata-kata; “tuan speaker, dengan izin”. Hanya kerana mereka tidak terjumpa atau terlintas perkataan BM.
Sebagai menghormati negara ini berasaskan kepada ketuanan Melayu dan Islam, tidak salah jika jawatan PM dan TPM hanya dikhususkan untuk orang Melayu (Islam). Jawatan lain, kongsilah dengan bangsa lain. Perkara ini adalah biasa dan lumrah. Apakah bukan Melayu tidak belajar daripada Singapura. Pernahkah jawatan menteri kanan (perkhidmatan awam) diserahkan kepada orang Melayu walaupun Singapura itu negara berasaskan ketuanan Melayu (Islam). Janganlah hipokrit.
Jika benar BN nak dijadikan satu parti. Perlu ada formula. Apa yang penting PM dan TPM mempunyai sifat negarawan. Setakat ini saya hanya dapat lihat sifat ini ada pada orang Melayu (Islam), orang Asli dan bumiputera. Bukan setiap etnik diwakili melalui perlantikan sebagai TPM. Saya yakin selepas bosan jadi TPM, mereka menuntut untuk menjadi PM pula. Sekarang ini memanglah mereka berkata kononnya tidak berminat.
Kesimpulannya, pada saya, tidak perlulah mengeluarkan kenyataan atau mendabik dada apabila dilantik menjadi menteri, seraya berkata; “saya adalah menteri kepada Malaysia, bukan hanya kepada UMNO BN”. Sudah difahami. Semestinya apabila dilantik menjadi menteri, kita akan kepunyaan Malaysia atau negarawan. Itupun bukan bermakna, kita perlu cairkan diri kita untuk meraikan orang lain. Agenda Melayu (Islam) mesti diteruskan. Jati diri mesti diperkasakan.
Melayu tidak boleh hanyut dalam arus sekular. Hati Melayu tidak boleh mati. Ini kerana bangsa lain, tidak pernah cairkan identiti mereka atas semangat 1Malaysia. Misalnya, aktiviti belia dan sukan. Identiti atau jati diri apakah yang akan mengakari? Di manakah kedudukan kebudayaan kebangsaan, cara berpakaian dan sebagainya. Tidak cukup sekadar menyanyi lagi IM4U. Tidak ke mana, jika kita tidak bertegas dalam soal jati diri.
Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Jumaat, 8 Mac 2013
KASI PANAS! Video Komen Ridhuan Tee yang Patut Melayu 'Bengap' Wajib Tengok!
Patut la ramai orang kata Dr. Ridhuan Tee ni lebih melayu dari melayu sendiri. Niat ikhlas untuk menyatukan Melayu Islam dalam diri beliau lebih berkobar-kobar dari sesetengah melayu yang bengap dan tak reti bahasa.
Sabtu, 6 Ogos 2011
AWASI DAKYAH KRISTIAN - Dr. Ridhuan Tee
Segelintir pihak Kristian hari ini menjadi semakin berani. Desakan, tuntutan dan ugutan dikemukakan kepada kerajaan, walaupun bilangannya kurang daripada 10 peratus. Peluang keemasan ini dimanipulasikan sepenuhnya dalam keadaan umat Islam negara ini begitu tersepit dengan perpecahan yang melanda. Sebelum ini, mereka mendesak kerajaan menubuhkan kementerian hal ehwal bukan Islam. Tindakan ini begitu mencabar kesucian Islam dan mengundang bahaya kepada kedudukan agama Islam selaku agama majoriti dan agama persekutuan jika dibenarkan.
Kebetulan pula, seorang kawan baik saya berketurunan India, beragama Kristian, bersimpati dengan Islam, menelefon saya baru-baru ini. Beliau yang mengajar di salah sebuah sekolah kebangsaan di Kuala Lumpur, mengadukan kepada saya mengenai seorang murid Melayu darjah satu yang diajar oleh guru tuisyen Kristian berbangsa Cina mengenai Kristian dan menghafal lagu-lagu Kristian. Saya mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan oleh murid tersebut dengan teliti melalui telefon bimbit guru tersebut yang diserahkan kepadanya. Ternyata, anak kecil yang masih mentah dan tidak berdosa ini telah dicorakkan oleh guru Kristian tersebut melalui kelas tuisyen.
Tindakan guru tuisyen benar-benar keterlaluan dan amat kurang ajar. Saya amat mengharapkan pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas sebelum nasi menjadi bubur. Cukuplah dengan beberapa orang yang telah dimurtadkan secara berani seperti Aishah Bukhari, Azlina Jailani dan sebagainya. Ramai lagi sebenarnya yang menjadi mangsa, ini tidak termasuk yang masih belum dibuktikan. Hakikatnya, perancangan Kristian untuk menjadikan Malaysia sebagai syurga gerakan dakwah mereka memang tidak dapat dinafikan. Ianya bermula sejak mereka di bangku sekolah. Berhati-hatilah dengan guru-guru dan paderi-paderi musang berbulu ayam ini. Mereka akan menggunakan segala platform yang ada, atas nama pertubuhan, kelas tuisyen dan apa jua ruang dan peluang. Tindakan mereka begitu jelas bercanggah dengan perlembagaan persekutuan. Apakah kita masih mahu terus berdiam diri dan bersangka baik?
Berita terbaru mengenai tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, di Petaling Jaya kerana terdapat bukti wujudnya percubaan memurtadkan umat Islam di negeri ini langsung tidak mengejutkan saya. Saya amat yakin perancangan jahat ini memang telah lama berlaku. Jika tidak percaya tanya exco Kristian dalam kerajaan negeri Selangor. Cuma dia pura-pura tidak tahu apabila ditanya. Begitu juga paderi-paderi yang terlibat. Ibarat lontar batu sembunyi tangan. Mereka akan cari seribu satu alasan untuk menunjukkan bahawa mereka tidak bersalah. Malangnya kita terlalu berlembut kerana takut undi lari dan kalah dalam pilihan raya. Sedangkan mereka begitu bersatu tanpa berbelah bahagi mempertahankan tindakan mereka.
Kita selalu bertindak menjaga kepentingan jangka pendek, melupakan kepentingan jangka panjang. Jika beginilah cara kita berpolitik, saya amat bimbang semakin ramai orang Melayu akan menjadi Kristian suatu masa nanti. Jangan perjudikan masa depan Islam, buruk padahnya. Gunakan peruntukan perlembagaan sedia ada. Lindungilah Islam sebelum terlambat.
Saya amat mengharapkan kita tidak akan tunduk kepada penafian mereka, seolah-olah mereka tidak bersalah. Mereka mesti disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995. Seksyen itu memperuntukan mereka yang menghina Islam atau menyebabkan agama itu dipandang hina; mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan. Mereka yang disabitkan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Ikut saya, peruntukan ini terlalu ringan, undang-undang ini perlu dihalusi lagi untuk diberatkan lagi hukumannya.
Walaupun pihak Kristian menafikan tindakan mereka dengan mengatakan bahawa majlis makan malam diadakan dalam semangat 1Malaysia oleh Harapan Komuniti (NGO Kristian), bertujuan menawarkan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan memerlukan. Semua itu adalah alasan sahaja. Mereka mahu berselindung di sebalik kerja-kerja amal. Dua puluh tujuh tahun dahulu, ketika saya menganut agama Kristian, helah ini juga digunakan untuk mengKristian pelajar-pelajar di asrama. Saya tahu perancangan licik mereka.
Saya memohon kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku supaya campurtangan dan menjaga kesucian agama Islam daripada perancangan licik segelintir paderi-paderi Kristian ultra kiasu ini sebelum nasi menjadi bubur.
Jika kita mahu pastikan negara-negara Melayu Islam tidak tercemar lagi, seperti pencemaran yang telah mereka lakukan di Singapura dan Indonesia, tidak ada cara lain, selain bertindak tegas menggunakan peruntukan perlembagaan sedia ada. Jangan berlengah lagi. Tindakan perlu diambil terhadap golongan lempar batu sembunyi tangan.
Saya yakin ibu bapa murid tersebut tidak tahu menahu akan perkara tersebut. Jika ibu bapa murid tersebut tahupun, mereka tidak akan mensensasikan isu tersebut. Inilah sifat orang Melayu yang kadangkala meresahkan saya. Kepala sudah dipijak-pijak tetapi masih terus berlembut.
Berbeza sekali dengan sikap agresif ultra kiasu menangani iklan Ramadan TV8 yang dikatakan rasis. Bila hak mereka tercuit sedikit, heboh satu dunia seolah-olah negara bertuah ini begitu zalim terhadap mereka.Saya berulang kali menonton iklan tersebut melalui sebuah laman web. Saya tidak nampak di mana rasis sebagaimana yang didakwa. Tema sekadar menghormati agama sensitiviti umat Islam. Ia tidak ada kaitan sama ada iman kita lemah atau kuat. Takkan sekian lama hidup di negara bertuah ini masih tidak tahu atau tidak faham sensitiviti umat Islam? Apa erti agama Islam sebagai agama persekutuan jika tidak difahami dan dihormati.
Niat iklan tersebut adalah baik. Tetapi telah dimanupulasikan dan disensasikan. Beradab dan bersopan, adalah tuntutan semua agama. Menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara, adalah wajar terutama di bulan Ramadan. Adalah kurang adab jika kita makan di khalayak ketika umat Islam sedang berpuasa, atau sengaja memakai pakaian yang tidak senonoh, yang ditentang oleh semua agama.
Sama seperti mengunjungi majlis kematian orang bukan Islam. Adalah tidak manis jika umat Islam datang dengan pakaian berwarna merah. Saya yakin jika ada umat Islam datang dengan berbaju merah ketika majlis kematian, sudah tentu akan heboh 1Malaysia. Ini yang dikatakan bila kita lakukan sesuatu dikatakan rasis, tidak sensitif, tidak menghormati hak orang Islam.
Bila mereka yang melakukannya itu dikatakan sebagai hak. Ini bukan bermakna agama lain tidak perlu dihormati. Namun, oleh kerana agama Islam adalah agama majoriti dan agama rasmi pula, saya fikir tidak salah jika bukan Islam memberikan sedikit penghormatan. Memang secara peribadi tidak teruja langsung orang makan di depan saya atau mahu telanjang sekalipun ketika berpuasa, nak muntah ada, tetapi kita bercakap soal adab sopan dan sensitiviti.
Siapa yang akan mempertahankan kesucian agama Islam jika bukan kita. Janganlah menggantung harapan bahawa orang lain akan mempertahankan kita. Bila hak ita diambil itu dikatakan hak, bila hak mereka diambil, itu dikatakan rasis dan tidak adil. Licik sungguh politik dan strategi mereka. Apakah ini bukan ultra kiasu namanya? Apabila kerajaan melarang menggunakan nama Allah, menahan Al-Kitab (bible) dalam bahasa Melayu untuk diedarkan, maka berkokoklah mereka dengan mengatakan itu hak mereka. Namun, apabila kita melarang mereka menyebarkan agama Islam kepada orang Melayu kerana bertentangan dengan perlembagaan, maka mereka mencari seribu satu alasan untuk menjustifikasikan tindakan biadab ini.
Bila kita kemukakan bukti nanti, mereka akan canangkan kepada dunia, Malaysia tidak ada kebebasan beragama. Maka gagasan 1Malaysia akan dijadikan hujah untuk mempertahankan tindakan mereka. Malangnya sungguh gagasan ini, sengaja dimanipulasi untuk menghalalkan tindakan mereka. Akhirnya, kita salah, mereka yang betul.
Tidak kurang juga banyak iklan-iklan mengenai perlakuan negatif realiti orang melayu seperti merempit, menagih dadah dan pelbagai lagi, tetapi orang Melayu tidak pernah melompat seperti ultra kiasu ini. Bila kena pada mereka semuanya sensitif, namun bila kena pada kita sebagai umat Islam, mereka senyap sahaja dan kalangan mereka bertepuk tangan.
Dr. Ridhuan Tee
Isnin, 28 Jun 2010
BENARKAH JUDI HAK BUKAN ISLAM?! - DR. RIDHUAN TEE

Kupasan dan ulasan yang menarik dari seorang pendakwah bebas yang amat terkenal di Malaysia. Pengalaman beliau mengkaji pelbagai agama demi mencari kebenaran digunakan sebaik-baiknya dalam penulisan beliau. Beliau juga pernah teruk dikutuk oleh Dap serta pakatan haram kerana isu teoh beng hock dan isu-isu lain. Hingga digelar ustaz proksi UMNO. Baca hasil tulisan Dr. Ridhuan Tee mengenai isu judi, yang dikatakan hak kepada bukan Islam. Post ini bukan untuk menghina sesiapa, cuma kita perlu mengkaji terlebih dahulu sebelum bercakap mengenai sesuatu. Baca di bawah!
Albert Einstein pernah berkata, "God does not play dice with the universe." If God isn't a gambler, are his followers? Kata-kata ini membuatkan saya amat teruja dengan kenyataan mengenai judi yang dikatakan adalah hak orang bukan Islam. Persoalannya, dari sumber manakah fakta tersebut diperolehi? atau kenyataan tersebut sekadar mahu mengambil hati atau menjaga hati orang lain? Kita tidak seharus membuat generalisasi bahawa amalan budaya sesuatu kaum merupakan hak mereka, tanpa merujuk kepada sumber asasi atau berautoriti.
Jika kita tidak rajin membaca, sekurang-kurangnya tanyalah mereka lebih arif serta pakar, seperti pakar perbandingan agama atau sami Buddha, Hindu, paderi Kristian dan sebagainya. Jangan cakap ikut sedap mulut tanpa fakta yang kukuh, takut nanti diketawa orang. Budaya merujuk pakar perlu ada dalam melahirkan masyarakat yang maju, berilmu dan mempunyai daya intelektual yang tinggi. Sedarlah, kita tidak akan tahu semua perkara. Dengan sebab itu, kita mempunyai pengkhususan bidang masing-masing. Lebih baik bercakap mengikut bidang. Apatah lagi menyentuh sensitiviti agama. Lebih menyedihkan, kadang-kadang yang jahil murakabpun mahu bercakap. Akibatnya, makin banyak cakap, makin terserlah kelemahan. Ini memberikan ruang dan peluang untuk mereka yang ingin mengambil kesempatan menangguh di air keruh, terutama ultra kiasu dan sekutunya.
Sepanjang pengetahuan saya mengkaji perbandingan agama sehinggalah memeluk Islam, tidak ada satupun agama yang menghalalkan judi. Begitu juga dengan perkara-perkara lain yang turut sama tidak dihalalkan seperti arak, zina, pelacuran, pergaulan bebas, seks bebas, jenayah, bunuh diri dan sebagainya. Alangkah hinanya sesuatu agama, jika ada yang berpendapat judi dan perbuatan yang disebutkan itu adalah dibolehkan.
Justeru, tidak hairanlah semua agama mengharamkan judi. Ia dikategorikan sebagai dosa besar dan kerja-kerja syaitan. Sila baca pandangan Kristian dalam 1 Timothy 6:9, Matthew 6:13; 26:41, James 4:3; Matthew 18:6-9. 1 Corinthians 15:33, pandangan Buddha dalam Digha Nikaya, Sigalovada Sutta: The Layman's Code of Discipline, Dighajanu Sutta, Anguttara Nikaya VIII.54, pandangan Hindu dalam Tirukkural, 94: 931-940 (http://www.buddhanet.net/e-learning/ethics_s.htm).
Tidak ketinggalan, amalan judi juga diharamkan dalam agama Yahudi. (http://www.beliefnet.com/News/2003/01/Does-God-Play-Dice.aspx). Istilah-istilah moden yang merujuk kepada judi seperti kasino, loteri, mesin slot, dan judi bola sepak, menurut pengamal-pengamal Kristian adalah haram dan berdosa. Jadi, dimanakah hujah untuk menghalalkannya. Sila layari http://gospelway.com/morality/gambling.php. Saya merasa pelik kenapa kita takut untuk berkata benar. Saya memuji langkah Pemuda UMNO yang begitu tegas menolak tindakan menghalalkan judi. Ini selaras dengan gagasan 1Malaysia.
Namun, jangan pula kita terpengaruh dengan agenda dan propaganda negeri ultra kiasu yang awal-awal lagi membuat gimik mengharamkan judi. Sebenarnya mereka mahu meniru negeri ultra kiasu di selatan Johor, yakni membuka kasino terbesar di Asia sebagai sumber pendapatan. Cuma masa masih tidak mengizinkan. Mereka masih belum mendapat apa yang dicitakan. Jika mereka sudah dapat, saya yakin gaya kepimpinan Umar Abdul Aziz akan dibuang entah ke mana.
Persoalannya, kala agama lain bersependapat dengan kita, kenapa kita pula bertindak melawan arus mahu menghalalkan judi bentuk baru ini? Saya tidak nafikan ada sedikit kebaikan yang dibawa jika ianya dijalankan mengikut lunas undang-undang, sekurang-kurangnya tidak wujud lagi penjudi-penjudi haram.Persoalannya, adakah kita yakin dengan membenarkan operasinya, segala masalah akan dapat diselesaikan?
Pada hemat saya, yang haram tidak boleh disahkan, kerana implikasi haram akan menerbitkan keputusan yang haram juga. Logiknya mudah, bila halal + halal, jawapan halal tidak ragu-ragu lagi. Namun, jika haram + halal, jawapannya masih lagi haram. Jika tidak harampun, ia akan menimbulkan sangsi dan was-was. Apatah lagi jika haram + haram, sudah tentu menjadi lebih haram.
Justeru, oleh kerana tidak ada satupun agama yang membenarkan judi, eloklah kita fikirkan semula bagaimanakah kesannya, jika ianya dibenarkan atau dilesenkan.
Berasaskan pengalaman saya ketika tidak Islam dan pernah berjudi secara haram, judi langsung tidak mendatangkan kebaikan, malahan akan menimbulkan ketagihan walaupun judi itu tidak boleh dimakan, rasa tidak puas hati akan menimbulkan ketagihan. Apatah jika menjadi sumber rezeki, seterusnya menjadi darah daging.
Saya tidak pernah lihat ada taukeh judi yang bankrap atau jatuh miskin disebabkan oleh perniagaan haram ini. Yang jelas, rata-rata masyarakat atau rakyat menjadi mangsa. Sudah tentu ia bercanggah dengan slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Dilihat dari sudut mana sekalipun tidak ada satupun kebaikan hasil perjudian. Menang sekali setelah ratusan kali dan ribuan kali kalah. Judi telah mengakibatkan penderitaan dan reputasi seseorang. Soal mereka masih melakukannya, sehingga menjadi amalan hidup, itu adalah soal individu. Adalah tidak wajar dikaitkan dengan peradaban dan agama mereka sehingga kita sanggup mengatakan bahawa ia merupakan hak mereka, tidak boleh diganggu-gugat.
Kadang kala saya tidak faham kenapa kita begitu cepat melatah dengan membuat kesimpulan? Apa niat dan matlamat kita sebenarnya? Apakah kita pernah membuat kajian kesan judi terhadap kehidupan seseorang? Sebelum memeluk Islam, saya pernah melihat dengan mata kepala saya sendiri bahana judi. Ada yang terpaksa melacurkan isteri kerana kalah berjudi kerana tidak dapat melangsaikan hutang judi. Tidak kurang pula yang membunuh diri. Ada juga yang sanggup menggadaikan harta benda dan tanah pusaka. Bapa saya sehingga ke akhir hayatnya, meninggal dalam keadaan terkilan dengan tindakan anaknya yang sanggup menggadaikan tanah pusaka kerana kalah dalam perjudian.
Justeru, apakah altenatif kepada penjudi-penjudi ini. Pada saya, cukuplah dengan apa yang telah ada. Tidak perlulah ditambah lagi. Jika dapat dikurangkan dan dihapuskan lagi baik kerana tidak ada agama yang menyetujuinya. Jangan mengundang bala, takut-takut nanti dimurkai Tuhan. Tatkala itu, mereka yang mengharamkan judi atau tidak pernah berjudipun akan terpalit sama kerana bala Tuhan tidak mengenal tempat atau orang tertentu sahaja.
Tsunami yang melanda tidak hanya kena pada mereka yang engkar dengan Tuhan, tetapi melibat ramai orang baik yang tidak berdosa, termasuk rumah ibadat seperti surau dan masjid. Janganlah kita anggap, jika bala turun ia hanya akan kena pada mereka yang melakukan maksiat sahaja.
Saya yakin kepimpinan negara kita akan melihat perkara ini dengan serius. Biarlah mereka yang berjudi haram ditangkap polis. Sekurang-kurangnya kita dapat memberikan mereka pengajaran daripada terus berjudi seumur hidup.
Kajian yang dibuat ke atas bandar-bandar utama di Amerika Syarikat seperti Washington, Minnesota, Mississippi, California, Colorado, Connecticut, Las Vegas, Wisconsin dan sebagainya, menunjukkan bahawa apabila pusat judi dibuka, kadar jenayah dalam pelbagai bidang meningkat serta merta sehingga 500 peratus.
Menurut John Curran, kadar jenayah ragut, rogol, rompak, serangan dan bunuh meningkat mendadak apabila kasino dibuka. Statistik Federal Bureau of Investigation (FBI) mempamerkan, kadar jenayah daripada 1000 orang penduduk meningkat daripada 134.3 pada tahun 1978 kepada tahap menakutkan iaitu 450.3 pada tahun 1988. Hujah ini diperkukuhkan lagi oleh kajian Keith Copher, Ketua Penguatkuasaan, Lembaga Pengawasan Judi, Nevada, yang mendedahkan antara 450-500 pekerja ditangkap setahun kerana terlibat dalam aktiviti perjudian haram dalam satu daerah.
Menurut Schaff, Counselor for the Department of Corrections in Wisconsin "In the most desperate phase of compulsive gambling, they will do anything to gamble," "They start stealing money from their spouses, family . . . they'll get money anyhow, anywhere. They'll do forgeries, embezzlements, thefts. It's mostly white-collar crime."
Tidak ketinggalan, judi turut menjejaskan kadar percukaian negara. Menurut Tom Grey, President of National Coalition Against Legalized Gambling, "We have studies that show for every dollar you bring in gambling revenue, you'll lose $1.90 in costs to the taxpayer," he said. It's as simple as ABC, "the addiction, the bankruptcy, the crime and corruption that you already have will just multiply with this expansion." … "If you're not fighting it, it's like cancer and will metastasize and take you over,". Sila rujuk http://www.citizenlink.org/FOSI/gambling/cog/A000002180.cfm
Semua bukti ini menunjukkan bahawa perjudian langsung tidak mendatangkan kebaikan kepada negara, patah lagi kepada individu yang terlibat. Justeru, tunaikan hak semua agama dan hak rakyat untuk mendapatkan kebaikan dan hidup aman damai. Saya yakin ia bertepatan dengan amalan gagasan 1Malaysia. Saya juga yakin masyarakat Islam akan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pentadbiran yang ada pada hari ini jika kita bertegas.
Keseriusan ini lebih baik daripada melayan pandangan dan tuntutan pemuda MCA, seperti Ka Siong yang membangkitkan isu pemberhentian penghantaran pelajar-pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) keluar negara bagi lepasan SPM. Beliau mempertikaikan apakah MARA akan mengambil tindakan yang sama. Kita amat faham akan maksud tersurat dan tersirat sebab pelajar-pelajar MARA adalah orang Melayu. Dalam kepala beliau hanya bangsa, bangsa, bangsa, bukan soal negara yang lebih utama. Ultra kiasu sungguh. Lebih baik join sahaja parti ultra kiasu itu, baru senang cerita. Janganlah menjadi duri dalam daging dalam Barisan Nasional. Pernahkah parti-parti komponen Sabah Sarawak bangkit isu ini, walaupun mereka lebih berhak. Jawapannya tidak, kerana mereka memahami inspirasi dan aspirasi sejarah negara.
Apakah universiti tempatan terlalu lekeh untuk menempatkan pelajar-pelajar cemerlang ini? Jika begitulah keadaannya, tidak payahlah bersusah payah meminta kerajaan memberikan tanah dan bantuan untuk mendirikan Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Terbuka Wawasan dan sebagainya. Lebih baik hijrah universiti ini keluar negara. Kita mahu melihat adalah mereka mampu bertahan atau tidak untuk menjadi universiti yang berkualiti.
Kenyataan ini tidak sepatutnya keluar daripada seorang yang berjawatan dalam barisan kabinet kerajaan. Biarlah yang menyalak itu pemimpin mereka yang kononnya mempunyai moral yang tinggi. Barulah tidak menjadi duri dalam daging. Bertindaklah ada dasar apa yang benar, apa yang salah, bukannya menegakkan benang basah dalam lingkungan etnik yang sempit. Kita tidak akan ke mana-mana.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, UPNM merangkap Setiausaha Agung DPIM. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
MctHeory:
Nampaknya tindakan Ds Najib yang tidak meluluskan lesen judi bola adalah tepat. Suara rakyat harus didengar. Judi punca segala masalah!.
Langgan:
Catatan (Atom)


